Selasa, 30 Jun 2015

KELEMAHAN PERKHIDMATAN PENGANGKUTAN AWAM KEPADA MASYARAKAT

Apakah kelemahan – kelemahan perkhidmatan awam terhadap masyarakat atau komuniti setempat?

-Perkhidmatan pengangkutan awam walaupun mempunyai banyak kebaikan tetapi juga terdapat kelemahan. Sudah pasti dilema utama yang dihadapi oleh masyarakat terhadap sistem pengangkutan awam kita ialah kos atau tambangnya yang agak mahal. Kadar tambang terutamanya bagi penumpang teksi dan LRT adalah dianggap mahal terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah serta menghalang mereka daripada menggunakan sistem pengangkutan itu dengan lebih kerap. Kadaan ini menyebabkan jumlah pengguna pengangkutan awam terutama LRT agak kurang dan tidak menyeluruh. Kebanyakan daripada mereka hanya menggunakan pengangkutan awam hanya apabila terdesak atau hanya untuk ke pejabat sahaja.

- Selain itu, kemelut pengangkutan awam ini turut dikaitkan dengan amalan pengurusannya yang tidak cekap. Masyarakat menganggap sistem pengangkutan awam terutamanya bas awam tidak boleh diharap dari segi ketepatan waktu operasinya. Kelewatan bas kerap berlaku dan tidak mengikut jadual perjalanan yang ditetapkan. Hal ini menyebabkan masyarakat sukar untuk merancang dan menjangka tempoh perjalanan yang bakal mereka hadapi. Masalah kelewatan sampai ke tempat kerja menjadi isu utama akibat kegagalan pihak pengurusan mengatasi masalah tersebut. Masalah penjagaan bas awam, LRT dan teksi turut dikatakan termasuk dalam kategori yang mengecewakan kerana penyelenggaraannya yang tidak menyeluruh.

- Kita juga sering terdengar rungutan orang awam yang mengatakan bahawa tumpuan perkhidmatan awam di negara kita tidak menyeluruh. Kemudahan stesen LRT umpamanya hanya terletak di kawasan tertentu yang kadang-kala menyukarkan orang ramai tiba ke pejabat. Hal ini bertambah rumit kerana masalah kekurangan pengangkutan tambahan atau “fider bus” di kawasan itu.

- Malah, pengangkutan awam turut turut terjejas akibat tindakan segelintir pekerja mereka seperti pemandu teksi dan pemandu bas yang tidak sopan ketika memandu. Sering kali masyarakat mengadu kerakusan pemandu pengangkutan awam di jalan raya yang dibuktikan oleh meningkatkan kemalangan yang melibatkan pengangkutan awam ini. Sikap tidak prihatin mereka ini telah memberi satu imej negatif kepada semua pekerja yang bekerja dalam sistem pengangkutan awam negara kerana seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit. Ada di antara mereka yang masih mengamalkan sikap ingin menjadi sang juara di jalan raya. Hal ini bukan sahaja membahayakan penumpang kenderaan tersebut malah pada masa yang sama turut membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

- Banyak juga aduan yang sering kita baca di dada-dada akhbar mengenai rungutan orang awam tentang kekurangan tempat letak kereta di stesen LRT dan komuter. Hal ini berlaku kerana kurangnya perancangan yang teliti sebelum projek tersebut dilaksanakan. Kelemahan ini bukan sahaja menyukarkan orang ramai meletakkan kenderaan mereka malah menghalang orang ramai untuk menaiki kemudahan awam tersebut. Di beberapa buah stesen komuter dan LRT di ibu kota Kuala Lumpur umpamanya, kekurangan tempat untuk meletakkan kenderaan menyebabkan orang ramai meletakkan kenderaan mereka sesuka hati atau di tepi-tepi jalan. Hal ini bukan sahaja menyebabkan berlakunya kesesakan malah kadang-kala boleh menyebabkan berlakunya kemalangan. Lebih malang pula, ada sebahagian kenderaan tersebut turut di saman oleh pihak polis biarpun masalah ini timbul akibat kelemahan pengurusan terbabit.

    Pada pendapat anda, apakah yang perlu dilakukan oleh masyarakat atau penduduk setempat untuk mengatasi kelemahan perkhidmatan pengangkutan awam?

- Pada pendapat saya, antara jalan penyelesaiannya ialah kerajaan perlu mengurangkan kos atau tambang perkhidmatan awam bagi memudahkan rakyat yang kurang berkemampuan untuk menikmati perkhidmatan pengangkutan awam yang sedia ada ini. Selain itu, sistem pengurusan perkhidmatan pengangkutan awam juga perlu dikemaskinikan iaitu dari segi ketepatan waktu operasi pengangkutan awam seperti bas awam supaya kelewatan bas awam ang kerap berlaku dapat dikurangkan.Tambahan pula, pemandu – pemandu pengangkutan awam seperti bas awam dan teksi perlu didisiplinkan agar mereka dapat bertutur dengan lebih mesra dan sopan terhadap pelanggannya. Akhir sekali, pihak kerajaan perlulah menyediakan tempat letak kereta yang cukup di stesen LRT dan komuter bagi mengurangkan kesesakan jalan raya berhampiran stesen – stesen ini selain memudahkan penguna – pengguna LRT dan komuter untuk meletakkkan kereta mereka di tempat yang disediakan itu.

KE ARAH SISTEM PENGANGKUTAN AWAM YANG LEBIH CEKAP, BERKESAN

Sistem pengangkutan adalah kemudahan infrastruktur yang sangat penting bagi setiap negara dalam pelbagai segi. Ia membolehkan pergerakan manusia dan barangan, mencorak penggunaan tanah dan paten pembangunan sesuatu negara itu, menghasilkan pertumbuhan ekonomi serta penjanaan pekerjaan, menyokong dasar awam yang berkaitan dengan penggunaan tenaga, kualiti udara dan seterusnya pengeluaran karbon. 

Kajian yang banyak dijalankan dalam beberapa negara maju menunjukkan bahawa pelaburan dalam sistem pengangkutan memberi kesan signifikan kepada ekonomi sesuatu negara itu dalam segi penyediaan pekerjaan, sistem penggajian dan pendapatan perniagaan. 


Kemudahan setanding negara maju

Malaysia mempunyai kemudahan infrastruktur pengangkutan yang baik setanding dengan apa yang terdapat dalam kebanyakan negara maju. Dari segi pengangkutan darat, Malaysia mempunyai rangkaian lebuh raya dan jalan raya sepanjang lebih kurang 6,3000 kilometer yang baik dengan lebih kurang 2.6 peratus daripadanya adalah lebuh raya yang setanding dengan yang ada di negara maju lain. 

Selain daripada pengangkutan darat, pengangkutan manusia dan barangan berat juga boleh dilakukan melalui rel yang menyambung beberapa bandar utama dari utara hingga pantai timur dan selatan Semenanjung. Kebanyakan bandar utama di seluruh negara juga dihubungkan melalui rangkaian udara yang baik oleh tiga syarikat penerbangan tempatan. Enam daripada lapangan terbang bertaraf antarabangsa negara pula menyediakan hubungan udara ke berbagai destinasi bandar raya utama dunia. 

Pertumbuhan ekonomi berkait rapat dengan pembangunan sistem pengangkutan khususnya dari segi infrastruktur dan kepakaran pengurusan. Sektor pengangkutan juga boleh menyumbang ke arah penghapusan kemiskinan luar bandar, sekali gus menaik taraf kehidupan rakyat melalui aktiviti ekonomi luar bandar yang pelbagai, pasaran niaga yang cukup dan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti. 

Oleh sebab itulah, kerajaan memberi penekanan yang tinggi terhadap penyediaan sistem pengangkutan yang berkesan dan cekap. Peletakan keutamaan untuk meningkatkan kualiti pengangkutan awam sebagai salah satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Nasional, penyediaan peruntukan sejumlah RM2.8 billion dan penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) adalah antara petunjuk utama mengenai perkara penting ini. 
Dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10), sistem pengangkutan awam yang mesra rakyat dirancangkan. Pendekatan rancangan bertukar daripada sektor pengangkutan sebagai isu kejuruteraan kepada sistem pengangkutan yang memberi penekanan kepada kesiapsiagaan perkhidmatan, kemudahan mobiliti perjalanan dan sambungan antara perjalanan yang baik. Penekanan ke arah mobiliti ini adalah selaras dengan pengalaman negara maju yang menunjukkan mobiliti yang tinggi menghasilkan peluang dan pemangkin kemajuan yang lebih baik berbanding mobiliti yang terhad. 

Sistem pengangkutan cekap 

Sesuatu sistem pengangkutan yang cekap bukan sahaja sistem yang mampu membolehkan masa perjalanan yang singkat dan tambang yang murah. Sistem pengangkutan yang cekap dan berkesan perlu juga menyediakan suasana perjalanan yang selesa dan selamat kepada pengguna melalui penyediaan kemudahan seperti terminal pengangkutan yang lengkap dengan keperluan hospitaliti, kemudahan hubungan antara terminal utama dengan terminal mod pengangkutan yang lain dan keselamatan. Penyediaan terminal pengangkutan darat seperti KL Sentral dan Stesen Terminal Bersepadu Selatan adalah antara usaha bagi merealisasikan pendekatan pengangkutan yang mesra pengguna. 

Dalam sektor pengangkutan udara, pengoperasian syarikat penerbangan tambang murah menolong menjayakan keperluan capaian dan kemampuan dalam pengangkutan. Penyediaan terminal baru yang lebih selesa dan mampu mengendalikan trafik udara yang lebih tinggi bagi sektor penerbangan tambang murah serta penyertaan sistem penerbangan udara nasional dalam program OneWorld juga akan mampu menyumbang kepada pengukuhan ekonomi negara. 

Antara isu penting yang sering ditimbulkan berkaitan dengan sektor pengangkutan sama ada dalam atau pun luar negara ialah yang berkaitan dengan kemudahan pengangkutan awam dalam kawasan bandar. Dalam Persidangan Tahunan Ke-10 Pengubahan Pengangkutan anjuran Bank Dunia di Washington DC pada Januari lalu, tiga perkara yang berkaitan dengan isu pengangkutan awam dalam bandar adalah pengintegrasian pengangkutan bandar dengan pembangunan, sistem pengangkutan lestari dan keselamatan serta kesihatan bandar. 

Dalam negara, dua isu yang sama sering disuarakan pengguna ialah mengenai kesesakan lalu lintas dan kekurangan keberkesanan pengangkutan awam darat. Banyak usaha sudah dilakukan oleh pihak kerajaan dalam menangani isu ini, antaranya peningkatan jumlah pengguna sistem LRT dan komuter yang berkesan mengurangkan bilangan kenderaan individu ke dalam kawasan bandar. Ia juga memendekkan masa perjalanan dan secara tidak langsung mengurangkan tekanan kerja. 


Wujud suasana sihat, lestari 

Sistem pengangkutan yang berkesan dan cekap akan menghasilkan suasana kehidupan yang sihat dan lestari dari segi sosial, ekonomi, persekitaran dan kewangan. Malaysia sudah mencapai satu tahap kualiti yang tinggi melalui transformasi dalam penyediaan infrastruktur pengangkutan yang baik. Namun begitu, usaha meningkatkan keberkesanan dan kecekapan sistem pengangkutan secara umumnya perlu diteruskan bagi memastikan kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat sentiasa berlaku bersama. 

Bagi tujuan itu, terdapat beberapa yang perlu diberi perhatian bagi menjayakan lagi transformasi pengangkutan negara. 

a. Pelaksanaan proses perancangan pengangkutan yang kurang bergantung kepada kereta. 

b. Peningkatan infrastruktur bagi mengambil kira kebaikan sistem pintar dalam pemantauan dan kawalan trafik terutama dalam kawasan bandar. 

c. Teknik pengurusan sistem pengangkutan perlu mampu menyelesaikan kesesakan jalan raya yang berpunca daripada kemalangan jalan raya dan sebagainya dalam masa yang sesingkat mungkin. 

d. Pengintegrasian pelan pembangunan bandar dan pengangkutan. 

e. Pendidikan berterusan bagi melahirkan pengguna jalan raya yang bertanggung jawab. 

Sistem pengangkutan yang cekap dan berkesan menyediakan peluang serta kebaikan ekonomi dan sosial yang mampu menghasilkan kesan berganda kepada negara. Sekiranya segala perancangan dapat dilaksana, dipantau serta senggara dengan baik, sistem pengangkutan yang cekap boleh direalisasikan. 



Sumber : http://www2.bharian.com.my/articles/Kearahpengangkutanawamlebihcekap_berkesan/Article/

KESAN PENGANGKUTAN TERHADAP ALAM SEKITAR

Seiring dengan dunia maju yang lain, negara Malaysia juga sedang bergerak ke arah kemajuan. pengangkutan kita juga semakin canggih dan moden. ia telah banyak membawa perubahan dan kebaikan pada taraf hidup masyarakat Malaysia. Sistem jalan raya yang baik, kemudahan sistem penerbangan yang cemerlangdan adanya pelabuhan bertaraf antarabangsa sememangnya telah dapat membawa negara dan rakyat ke era kemajuan dan permodenan.

Namun begitu, disebalik keselesaan dan pembangunan tersebut timbulnya beberapa masalah sampingan yang boleh memudaratkan kehidupan masyarakat. Perubahan ini tidak mungkin berlaku tanpa membebankan alam sekitar. Lazimnya, setiap perbuatan dan perubahan itu membawa bersama kebaikan dan keburukan. Seabagai contoh, pembamgunan sistem jaringan pengankutan meninggalkan banyak kesan terhadap alam sekitar. Sistem pengankutan merupakan faktor terbesar yang menyababkan pencemaran udara. Dianggarkan 13.6 juta gas-gas beracun yang berpunca daripada penggunaan kenderaan yang merosakkan kawasan hutan, tasik dan kehidupan laut. Pencemaran ini juga turut menambah kesan rumah hijau serta membahayakan kesihatan manusia.

Sistem pengankutan darat iaitu kenderaan bermotor seperti kereta, lori, motosikal, dan bas merupakan punca utama pencemaran udara berbanding dengan kapal laut dan kapal terbang. Hal ini dapat dilihat kerana, kenderaan bermotorlah banyak mengeluarkan banyak karbon dioksida (CO2) dari enjin dan menyebabkan pencemaran udara. Jika di bandar, kenderaan bermotor digunakan oleh hampir semua penduduk untuk melakukan aktiviti atau pekerjaan harian. Oleh itulah, berlakunya jalan raya yang sesak dan bunyi-bunyi enjin kereta serta bunyi hon kereta yang membingitkan telinga. Perkara sebegini membawa kepada pencemaran landskap dan bunyi terhadap alam sekitar. Perkara ini boleh dikurangkan dengan mengurangkan penggunaan kenderaan sendiri dan disaranka menggunakan kenderaan awam. Lebuh-lebuh raya dan jalan lingkaran bertingkat juga perlu dibina.

Negara kita sering terdedah kepada risiko tumpahan minyak yang besar. Selat Melaka dilalui oleh hampir 30% kapal-kapal tangki. Sektor perkapalan ini terutamanya kapal yang membawa minyak perlu dititik beratkan penjagaannya untuk mengelakkan pertumpahan minyak ke laut. Hidupan-hidupan akuatik juga akan mengalami kesukaran untuk meneruskan kehidupan ,burung-burung sukar untuk mencari makanan, dan pendapatan nelayan berkurang.

Kemasukan pelancong dari luar negara melalui pengankutan udara semakin meningkat. Dalam kesibukan ini, bunyi-bunyi enjin kapal terbang yang bising serta bunyi pengankutan udara yang lain seperti helicopter dan jet boleh menyumbang kepada pencemaran bunyi dan mengganggu penduduk yang tinggal di sekitar lapangan itu. Oleh sebab itu, lapangan terbang ini perlu dibina jauh dari kawasan perumahan penduduk. Namun begitu, pengankutan udara banyak juga kebaikannya terhadap alam sekitar seperti boleh mengawal pembakaran hutan dan pembalakan haram serta boleh memelihara alam sekitar.

Kesimpulannya, kita tentulah merasa tidak selesa jika pencemaran ini berlaku. Kita harus mengganggap bumi kita sebagai rumah kita sendiri, dan kita akan berusaha untuk tidak mengotorinya. Langkah-langkah pembersihan dan pencegahan pembersihan  perlu dilakukan. Alam sekitar kita akan bersih dan ia akan mencerminkan masyarakat yang harmonis dan sihat.



Sumber : http://yunchan39.blogspot.com/2013/09/kesan-pengankutan-terhadap-alam-sekitar.html

ISU PARKIR, KOS TAMBANG PENGANGKUTAN AWAM DI KUALA LUMPUR

BAYANGKAN Kuala Lumpur tanpa tempat letak kereta atau parkir yang mencukupi bagi menampung peningkatan jumlah kenderaan yang memasuki ibu kota. Memang ada tempat letak kereta di dalam bangunan sama ada di pusat membeli-belah, pejabat dan hotel. Persoalannya masih belum mencukupi. Di kawasan tanah lapang juga disediakan parkir. Kadar bayaran pula tidak sama. Bagi kawasan lapang, kadarnya berbeza mengikut kawasan. Ada yang RM7 dan ada sehingga RM10. Selama mana tempat letak kereta di kawasan lapang ini mampu bertahan? Lambat laun, kawasan ini akan bertukar menjadi tapak binaan bangunan yang menempatkan ruang niaga, pejabat atau kediaman. Maka semakin kecil ruang untuk meletak kereta kecuali projek pembinaan turut membangunkan tempat letak kereta bertingkat. Mengikut perancangan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah memulakan usaha untuk mengurangkan tempat letak kereta kepada tahap 70 peratus di kawasan atau bangunan berhampiran stesen pengangkutan awam.
Langkah ini bertujuan menggalakkan orang ramai menggunakan sistem pengangkutan awam seperti sistem transit aliran ringan (LRT), My Rapid Transit (MRT), bas RapidKL, komuter dan sebagainya. Di kawasan laluan MRT dan perkhidmatan awam lain juga akan dibangunkan kemudahan 'park and ride'. Sejauh mana langkah DBKL mengurangkan tempat letak kereta dan meningkatkan kemudahan pengangkutan awam mampu menarik orang ramai mengelak daripada membawa kereta memasuki ibu kota? Golongan mana yang benar-benar akan 'mematuhi arahan' untuk mengelakkan kenderaan mereka memasuki ibu kota? Siapa pun mereka, golongan pekerja atau peniaga, tidak ada kuasa yang mampu menyekat mana-mana pihak untuk membawa kereta memasuki Kuala Lumpur. Jika ada peraturan sekali pun seperti yang dilakukan di negara jiran seperti Singapura, sudah tentu undang-undang atau peraturan itu akan dijadikan modal untuk menghentam pihak berkuasa. Sudah menjadi lumrah sesetengah rakyat Malaysia yang akan membantah apa sahaja peraturan yang sebenarnya bertujuan baik tetapi dianggap bakal menyekat 'kebebasan' mereka.
Ada sahaja alasan yang diberikan untuk mengukuhkan hujah menentang segala peraturan yang diperkenalkan. Bagi sesetengah orang, peraturan itu umpama 'hukuman' yang membebankan walaupun niat dan tujuannya untuk kebaikan bersama. Akhirnya, undang-undang dan peraturan hanya tinggal tulisan di atas kertas sehingga langkah-langkah penguatkuasaan sukar dilakukan. Akhirnya apakah hasrat untuk mengurangkan kemasukan kenderaan ke ibu negara akan menjadi kenyataan? Adakah langkah-langkah yang diambil mampu menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam? Segalanya terpulang kepada individu berkenaan.
Banyak faktor yang akan mendorong sama ada mereka menggunakan pengangkutan awam atau sebaliknya.
Pertamanya, mengambil kira kedudukan kewangan. Bagi yang berpendapatan rendah, sudah tentu pilihan mereka sama ada menggunakan pengangkutan awam yang murah seperti bas, LRT atau menggunakan motosikal. Bagi yang berpendapatan sederhana dan mempunyai kemudahan seperti kereta atau motosikal juga mempunyai pilihan untuk mengambil pendekatan yang sama tetapi bergantung kepada beberapa faktor lain. Bagi yang hidup lebih senang, mereka sudah tentu lebih selesa menggunakan kereta terus ke Kuala Lumpur walaupun terpaksa berhadapan dengan kesesakan di samping menanggung beberapa kos termasuk tol, minyak dan parkir.
Pengangkutan awam seperti LRT, komuter, MRT akan menjadi pilihan jika perkhidmatannya memenuhi keperluan pengguna termasuk menyediakan perkhidmatan yang cekap (tepat masa), selesa dan tambang yang berpatutan. Ketika ini di sesetengah kawasan, pemilik kereta dibebankan dengan kos parkir di stesen pengangkutan awam. Sebaik tiba di stesen destinasi, penumpang berkenaan kemungkinan terpaksa mengeluarkan kos tambahan untuk ke tempat yang dituju sekiranya tempat berkenaan terletak jauh dari stesen berkenaan. Lebih sukar lagi jika tidak ada pengangkutan bas yang mampu memberi perkhidmatan ke destinasi yang dituju.
Pilihan akhir mungkin teksi. Di sinilah yang menjadi faktor sesetengah orang memilih untuk membawa kereta ke destinasi atau tempat kerja walaupun terpaksa menghadapi kos minyak, tol dan parkir. Pengangkutan awam sokongan amat penting supaya pengguna perkhidmatan rel tidak terbeban untuk sama ada ke stesen atau meneruskan perjalanan dari stesen ke destinasi tertentu. Kekurangan perkhidmatan sokongan ini akan terus mendorong orang ramai menggunakan kereta sendiri untuk berurusan termasuk di kawasan-kawasan yang sudah mempunyai sistem pengangkutan rel ini.
Pada masa yang sama, lebih menggusarkan apabila terdapat ura-ura akan berlaku kenaikan tambang LRT dan teksi pada tahun depan. Sejauh manakah kebenarannya? Apa yang pasti, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengumumkan kadar tambang teksi yang baharu akan diketahui pada suku pertama tahun depan. Kadar itu mengambil kira kos utiliti, penyelenggaraan dan kos lain yang ditanggung oleh syarikat dan pemandu teksi.
Berapakah kadarnya? Pengerusi SPAD, Syed Hamid Albar berkata, kadarnya tidak membebankan pengguna. Tidak pasti apakah yang dimaksudkan tidak membebankan. Sebenarnya kenaikan sepuluh sen pun akan membebankan pengguna. Lihat sahaja apabila kerajaan menaikkan harga gula berikutan rasionalisasi subsidi. Banyak rungutan didengar. Begitu juga cadangan menaikkan kadar tol, tarif elektrik dan pelbagai lagi yang mendapat bantahan dan reaksi negatif. Mungkin yang kurang didengar kritikan hebat apabila harga rokok dinaikkan.
Berapa pun kenaikannya diharapkan kadar tambang teksi, LRT, bas sama ada bas ekspres atau bas sekolah tidaklah seperti kenaikan gaji 'Kabinet Selangor' yang bukan sekadar 10 sen tetapi antara 106 hingga 373.3 peratus. Kenaikan biarlah berpada. Berkaitan cadangan menaikkan tambang LRT, tindakan itu bakal membebankan pengguna. Ketika kerajaan menggesa rakyat menggunakan pengangkutan awam, pengguna 'dijerat' dengan kadar tambang yang terus meningkat. Harus diingat purata pendapatan penduduk bandar masih rendah. Janganlah menjadikan peningkatan gaji kakitangan awam sebagai ukuran bagi membolehkan keperluan lain ditingkatkan kerana ianya bukan petunjuk jelas pendapatan purata rakyat. SPAD seharusnya membuat kajian latar belakang pengguna yang rata-ratanya merupakan golongan pekerja kelas sederhana dan rendah.
Kita tidak menolak keperluan kenaikan tambang terhadap pengangkutan awam. Mustahil harga yang ada pada hari ini akan kekal sampai bila-bila. Samalah seperti harga gula, rokok, kenaikan gaji dan sebagainya yang terus berubah. Cuma SPAD perlu melihat mutu perkhidmatan serta keselesaan kepada pengguna sebelum melakukan kenaikan tambang bagi pengangkutan awam ini. Kerajaan juga perlu menjelaskan rasional terhadap peningkatan pelbagai kos yg dilihat seperti sudah dirancang menjelang tahun 2014 yang bakal tiba lebih kurang seminggu sahaja lagi.


Sumber : http://ww1.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131223/re_03/IsuparkirkostambangpengangkutanawamdiKualaLumpur

PEMBANGUNAN SISTEM PENGANGKUTAN AWAM SECARA EFEKTIF PULIHARA ALAM

Usaha kerajaan untuk menaiktaraf dan meningkatkan mutu perkhidmatan awam wajar dipuji. Ini memandangkan ia bukan sahaja untuk kemudahan dan kepentingan rakyat, tetapi juga  merupakan usaha ke arah mengurangkan kadar pencemaran hasil daripada penggunaan bahan api fosil yang tinggi di dalam sektor pengangkutan di Malaysia. Memang tidak dapat  dinafikan bahawa sejak zaman revolusi perindustrian pada abad ke-18 di Britain sehinggalah ke hari ini, kita banyak bergantung kepada bahan api fosil bagi menggerakkan pembangunan dan memacu pertumbuhan ekonomi dunia.
Namun demikian, kesan daripada penggunaan bahan api fosil sejak berdekad lamanya telah pun kita rasai pada hari ini. Buktinya dampak daripada penggunaan bahan api fosil yang berleluasa telah mengakibatkan berlakunya fenomena pemanasan global yang akhirnya turut mempengaruhi perubahan iklim dunia. Pernahkah kita terfikir, apakah yang bakal kita hadapi jika kita terus berada pada tahap selesa dengan hanya bergantung kepada sumber bahan api fosil semata-mata? Sedangkan sumber tersebut merupakan antara penyumbang terbesar  kepada masalah pencemaran yang kita hadapi pada hari ini.

Sanggupkah kita untuk melihat nasib alam kita terus diselubungi kesuraman dek kealpaan kita untuk mencari penyelesaian kepada permasalahan ini? Sedangkan kita mempunyai pelbagai pilihan lebih baik yang boleh menjadi penimbal kepada bahan api fosil yang kita gunakan pada hari ini. Salah satunya ialah dengan pengaplikasian teknologi hijau secara menyeluruh dan bersepadu dalam penjanaan sumber tenaga dan juga segala aktiviti seharian kita.
Cuma apa yang menjadi persoalannya ialah sejauh mana tahap kesedaran masyarakat kita terhadap kepentingan teknologi hijau? Jika kita amati, pada hari ini tahap kesedaran masyarakat terhadap teknologi hijau masih lagi rendah dan belum mencapai tahap yang memuaskan. Buktinya dapat kita lihat apabila masih banyak kilang-kilang yang mengeluarkan asap hitam yang membahayakan. Begitu juga dengan penggunaan bahan bakar kenderaan bermotor yang begitu membimbangkan kita. Malahan, pada hari ini kita juga menyaksikan alam semulajadi kita dimusnahkan dengan sewenang-wenangnya, sungai-sungai dikotori dan pelepasan karbon ke udara dilakukan secara berleluasa dan dalam kuantiti yang besar.

Sedangkan kita sewajarnya menjadi anggota masyarakat yang lebih bertanggungjawab dan peka terhadap alam sekeliling kita.   Setiap aktiviti yang dilakukan seharusnya difikirkan terlebih dahulu baik buruknya terhadap alam. Misalnya, penggunaan kenderaan dan jentera yang menggunakan bahan api fosil (petrol dan diesel) mengakibatkan pencemaran udara yang teruk. Malah, kesan pembakaran bahan api fosil boleh menghasilkan gas-gas beracun seperti karbon monoksida, sulfur dioksida, nitrogen oksida dan bahan-bahan pencemar lain.

Malah, jika kita meninjau di lokasi bandar-bandar besar yang menjadi tumpuan seperti Kuala Lumpur dan Johor Bharu, paras bahan pencemar daripada kenderaan pastinya lebih tinggi berbanding kawasan-kawasan yang kurang menjadi tumpuan. Keadaan ini akan memberi kesan langsung kepada indeks kualiti udara (kualiti udara akan menjadi bertambah buruk di lokasi-lokasi yang mengalami kesesakan lalu lintas yang tinggi). Selain itu, keadaan lalu lintas yang tidak diuruskan dengan baik juga akan mengakibatkan berlakunya pembaziran sumber tenaga dan turut menjejaskan tahap kesihatan masyarakat yang menghirup bahan pencemar ini secara langsung.

Justeru, usaha kerajaan bagi menaiktaraf sistem pengangkutan awam di Malaysia merupakan satu langkah yang wajar dalam usaha memelihara kelestarian alam sekitar. Ini memandangkan, daripada laporan perangkaan Imbangan Tenaga Kebangsaan 2008, didapati bahawa penggunaan bahan api fosil dalam sektor pengangkutan di Malaysia telah meningkat sebanyak 35.8% antara tahun 2000 hingga tahun 2008. Peratusan ini pastinya akan terus meningkat jika tiada langkah sewajarnya diambil bagi mengurangkan penggunaannya.

Menyedari hakikat bahawa ia hanya dapat dielakkan sekiranya terdapat perkembangan yang memberangsangkan dalam sektor pengangkutan awam, maka kerajaan telah berusaha untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam bagi mengurangkan peratusan itu. Malah, pembangunan yang berterusan dalam sektor pengangkutan awam juga dapat menampung permintaan yang semakin meningkat ke atas perkhidmatan tersebut.

Oleh yang demikian, usaha mengurangkan pencemaran menerusi pembangunan pengangkutan awam yang efektif pastinya akan memberi impak positif kepada negara. Misalnya, ia bukan sahaja dapat menyelamatkan nyawa, malah turut menyelamatkan alam sekitar dan memberi manfaat ekonomi kepada negara. Selain itu, sekiranya kita mempunyai sistem pengangkutan yang efektif dan sempurna, kita juga akan mampu mengurangkan pembaziran tenaga dan kadar pencemaran alam sekitar.

Bahkan pembaziran tenaga dan kadar pencemaran akan berjaya diminimumkan jika lebih ramai yang menyokong dan menggunakan perkhidmatan awam. Namun persoalannya sanggupkah masyarakat menggunakan perkhidmatan awam untuk bergerak dari satu destinasi ke destinasi yang lain setiap hari? Pastinya ia agak berat untuk disahut memandangkan rata-rata kita lebih selesa menaiki kenderaan sendiri.

Sedangkan kesediaan dan kerjasama masyarakat adalah perlu bagi menjayakan matlamat ini. Sekiranya perancangan ini gagal, bukan sahaja wang rakyat lebur, tetapi sumber tenaga juga turut dibazirkan. Oleh yang demikian, sebagai rakyat yang prihatin terhadap masa depan alam sekitar, kita harus sepakat dan menyambut baik usaha murni kerajaan membangunkan sistem pengangkutan awam yang cekap.

Mudah-mudahan dengan sokongan padu semua pihak terhadap projek MRT yang dibangunkan oleh kerajaan, ia akan membuahkan hasil yang positif baik terhadap kebajikan rakyat mahupun alam sekitar seluruhnya. Malah, jika perancangan ini berjaya mencapai matlamatnya, bukan sahaja alam sekitar dapat dipulihara, sebaliknya kesejahteraan hidup kita juga akan turut terjamin.

Selain itu, satu sistem pengurusan sumber yang berkesan juga perlu dilaksanakan secara lebih serius dan  bersepadu bagi menjamin bekalan tenaga dan penggunaan yang berterusan untuk kegunaan manusia pada masa hadapan. Bahkan, bagi mengelakkan bumi kita terus diancam bahang panas, penggunaan sumber tenaga alternatif daripada sumber-sumber boleh diperbaharui (renewable energy) dan mesra alam adalah digalakkan. Ini kerana, dengan pengaplikasian teknologi hijau secara menyeluruh akan dapat membantu memulihara alam sekitar ke tahap yang maksimum.

Malah, kita seharusnya menyedari bahawa bumi kita tidak lagi mampu menanggung beban penggunaan kurang mapan dan pembaziran tenaga yang dilakukan oleh manusia. Justeru, bagi mengatasi masalah ini, guna tenaga secara cekap dalam semua aktiviti adalah penting agar permasalahan yang melanda alam sekitar dapat dikurangkan. Selain itu, kesedaran masyarakat dalam menghayati budaya teknologi hijau dan melibatkan diri dalam menjayakan program-program teknologi hijau yang telah dilaksanakan oleh kerajaan juga penting agar masalah berhubung isu tenaga dapat diatasi sehingga ke akar umbi. 

Sumber : http://www.ikim.gov.my/index.php/ms/artikel/8307-pembangunan-sistem-pengangkutan-awam-secara-efektif-pulihara-alam

Khamis, 25 Jun 2015

PELAKSANAAN TALI PINGGANG KELEDAR BAGI BAS EKSPRES ADALAH LANGKAH TERBAIK UNTUK MEMASTIKAN KESELAMATAN PENUMPANG

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Syarikat bas ekspres harus memperkenalkan perkhidmatan demonstrasi prosedur keselamatan kepada penumpang bas sebagai langkah memastikan keselamatan penumpang.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar berkata konsep ketika menaiki kapal terbang wajar diaplikasikan seperti memberi peringatan dan panduan kepada penumpang untuk menggunakan tali pinggang keledar sebelum bertolak.

"Saya menganggap pelaksanaan ini sangat mustahak kerana sebagai contohnya, apabila penumpang tidak memakai tali pinggang keledar dan tiba-tiba berlakunya kemalangan, risiko untuk penumpang tercampak keluar adalah tinggi kerana tiada ciri-ciri keselamatan dalam bas itu," katanya kepada Bernama.

Katanya, dalam kapal terbang, pramugari akan mengingatkan penumpang memasang tali pinggang keledar sebelum berlepas dan ketika hendak mendarat.

Beliau turut berkata, pengusaha bas ekspres harus memperkenalkan 'speed limiter' di dalam bas supaya kelajuan bas ketika dalam perjalanan dapat dipantau.

"Pengusaha bas perlu memperkenalkan 'speed limiter' dan juga 'Global Positioning System' (GPS) di dalam bas supaya setiap pergerakan dan lokasi perjalanan bas ekspres boleh dipantau dari jauh serta mematuhi undang-undang keselamatan jalan raya," kata Syed Hamid.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Semenanjung Malaysia Datuk Mohamed Ashfar Ali berkata persatuannya menyokong sebarang langkah yang diambil oleh kerajaan dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan.

Walau bagaimanapun, beliau menggesa kerajaan agar mewujudkan rang undang-undang untuk memastikan penumpang sentiasa memakai tali pinggang keledar.

"Misalnya, undang-undang yang mengenakan tindakan ke atas pengusaha bas jika penumpang mereka gagal memakai tali pinggang keledar," katanya.

Pengarah Komunikasi Persekutuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman pula berkata peraturan pengunaan tali pinggang keselamatan itu adalah langkah baik namun ia hendaklah disertai dengan penguatkuasaan undang-undang.

"Bila dah dilaksanakan, penguatkuasaan kena dijalankan juga sebab kalau ada tali pinggang keledar, tetapi penumpang tidak memanfaatkan kegunaannya, tidak guna juga," kata Mohd Yusof.

Baru-baru ini Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi mengumumkan langkah susulan daripada beberapa kemalangan bas yang melibatkan maut sebelum ini.

Ini termasuk penggunaan tali pinggang keledar di setiap tempat duduk bas ekspres serta bas persiaran dan pematuhan ini akan dikuatkuasakan mulai 1 Jan 2015.



-- BERNAMA

BANTUAN TEKSI RAKYAT 1MALAYSIA




Program bantuan Teksi Rakyat 1 Malaysia (TR1Ma) adalah dilahirkan dari cetusan buah fikiran Yang Amat Berhormat Dato' Sri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri atas keperihatinan beliau mengenai masalah yang dihadapi pemandu teksi. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri faham akan keluhan pemandu teksi yang menghadapi kos penyelenggaraan yang kian meningkat yang turut mengugat keselamatan serta keselesaan penumpang teksi.
Bertitik tolak daripada permasalahan itu, TR1Ma dilahirkan sebagai satu inisiatif menyeluruh bagi membantu pemandu teksi dan sekaligus menaikkan taraf perkhidmatan teksi di Malaysia. Program Bantuan Tayar 1 Malaysia untuk teksi (BT1M) merupakan program pertama yang dilancarkan di bawah TR1Ma. Antara program lain yang bakal dilancarkan di bawah TR1Ma termasuk insurans berkelompok serta khairat, duta teksi dan lain-lain lagi.
Secara ringkasnya program TR1Ma diharapkan bukan sahaja membaiki mutu perkhidmatan teksi, ia mampu meningkatkan persepsi dan keyakinan Rakyat terhadap perkhidmatan teksi.

Rabu, 24 Jun 2015

'MY TEKSI' JADI PERISAI KESELAMATAN PENGGUNA TEKSI







KUALA LUMPUR: Penggunaan aplikasi “My Teksi” untuk pengguna telefon pintar bagi mendapatkan perkhidmatan teksi, dilihat mampu menjamin keselamatan penumpang selain menurunkan kadar jenayah melibatkan perkhidmatan itu.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pelancaran perkhidmatan teksi secara mudah alih ini adalah yang pertama dilaksanakan di Malaysia.

“Tujuan perkhidmatan Coop MyTeksi diperkenalkan adalah bagi melahirkan rangkaian teksi maya terbesar di dalam negara sekaligus menaik taraf sistem pengangkutan melibatkan teksi di seluruh Malaysia”, kata Ismail.

Coop MyTeksi membolehkan penumpang menempah teksi melalui aplikasi MyTeksi yang dimuat turun pada telefon pintar dan tablet mereka termasuk tempahan melalui komputer.

Menurut Pengurus Besar MyTeksi, Adelene Foo, aplikasi ini lebih mementingkan keselamatan dan penjimatan masa para pengguna dengan menawarkan khidmat teksi yang lebih sistematik.

“Satu tempahan hanya mengambil masa kurang daripada satu minit sahaja dimana kedudukan sebenar pemandu teksi turut akan dikongsikan menerusi Global Positioning System (GPS)”, kata Foo.

Dalam pada itu, maklumat seperti jumlah harga, nombor telefon serta gambar pemandu yang berdaftar akan dihantar kepada pengguna menerusi sistem pesanan ringkas bagi meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan penumpang.

Foo berkata, sehingga kini 30 buah koperasi teksi yang beroperasi di Lembah Klang termasuk Negeri Sembilan dan Melaka bernaung di bawah perkhidmatan Coop MyTeksi melibatkan jumlah keanggotaan seramai 2,460 orang.

“Ini merupakan satu peluang kepada MyTeksi untuk membantu lebih banyak pemandu teksi disamping memberikan perkhidmatan yang lebih bagus kepada orang awam”, tambahnya.

Difahamkan, pemandu teksi mampu meraih pendapatan sebanyak 200% peratus berbanding cara yang biasa dilakukan pemandu teksi setelah berdaftar di bawah Coop MyTeksi.

“Sekiranya seorang pemandu membuat 80 hantaran selama sehari, menerusi perkhidmatan teksi mudah alih ini pemandu mampu melakukan lebih 150 hantaran sehari secara purata”, kata Foo penuh teruja.

Pelancaran Gabungan Koperasi Pengankutan Wilayah Tengah Malaysia Berhad, sebuah entiti koperasi menengah negara yang mewakili 17 koperasi teksi di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Melaka dan Negari Sembilan pada Selasa menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama perintis penempahan teksi mudah alih Malaysia, MyTeksi Sdn. Bhd.

Majlis ini juga merupakan antara diinisiatif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menandakan permulaan baru bagi industri teksi malaysia selain memastikan orang awam mempunyai pengalaman perjalanan yang lebih selamat tanpa sebarang kerisauan

PENGANGKUTAN AWAM DIKECUALIKAN DARIPADA GST

Image result for perkhidmatan yang dikecualikan gst




Tidak semua barang dan perkhidmatan akan tertakluk kepada GST. Beberapa makanan utama dan kemudahan asas seperti beras, ayam, ikan, daging, sayur-sayuran, gula, tepung dan minyak masak adalah bebas daripada cukai. Sementara itu, jual beli dan penyewaan hartanah pertanian dan rumah kediaman dan perkhidmatan seperti perkhidmatan kesihatan dan pendidikan swasta serta pengangkutan awam adalah dikecualikan daripada GST.

Selasa, 23 Jun 2015

KHIDMAT PENGANGKUTAN AWAM PERLU SELARI KENAIKAN TAMBANG

Beberapa hari lalu, penulis baru saja berbual dengan sahabat lama yang sudah empat bulan berhenti kerja dan kini menjadi pemandu teksi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Katanya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dia banyak menghabiskan cuti hujung minggu dengan bekerja secara sambilan dan hasilnya jauh lebih tinggi berbanding gaji bulanan diterimanya.
Jika hanya bekerja lapan hari sebulan sudah mampu meraih lebih dua kali ganda gaji bersih (RM1,500) yang diterima, bayangkan jika bekerja sepenuh masa. Tentunya lumayan dan lebih banyak masa bersama keluarga. Itu teksi di KLIA yang mungkin berbeza dengan teksi bandar dan di tempat lain yang ada kumpulan sasar penumpang berbeza. Tetapi fokusnya tetap kepada soal pengangkutan awam menggunakan teksi bermeter dan berkupon.
Sehari selepas itu, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) membuat kejutan mengumumkan kadar kenaikan tambang pengangkutan awam bas ekspres (22.6 peratus) dan teksi (20 hingga 67 peratus) sehingga mencetuskan rasa gusar rakyat serta reaksi negatif banyak pihak.
Penetapan harga baharu itu dilakukan selepas kali terakhir semakan kadar tambang bas ekspres dan teksi pada tahun 2009 berikutan kenaikan kos termasuk penyelenggaraan, insurans dan kos sara hidup. Namun semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta SPAD mengkaji semula perkara ini dan itu bermakna harga baharu berkenaan mungkin tidak akan dilaksanakan mengikut jadual asal pada 15 Mei ini atau kadarnya akan dikaji semula.
Kita faham, persatuan teksi dan bas ekspres ada alasan tersendiri kenapa perlu menaikkan harga, begitu juga dengan SPAD yang menyokong dengan alasan ia memperkukuhkan aspek penguatkuasaan dan pendekatan bersasar bagi pengguna jarak jauh.
Kadar baharu itu cuma tertakluk kepada teksi di Lembah Klang, Johor Bahru, Johor dan Pulau Pinang. Tetapi ketiga-ketiga kawasan itulah terletaknya lubuk manusia yang dahagakan perkhidmatan awam berkualiti dan sentiasa berperang dengan kesesakan serta mengejar masa. Berdasarkan statistik kajian SPAD pada tahun 2013, corak penggunaan teksi di Lembah Klang mendapati 70 peratus daripada mereka menggunakan teksi bagi jarak perjalanan kurang 10 kilometer (km) manakala 30 peratus bagi jarak melebihi 20 km.
Kejutan kepada pengguna
Bagi penulis, pengumuman itu satu kejutan kepada ratusan ribu pengguna kerana ketika rakyat bersiap sedia menanti kehadiran dan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bermula 1 April ini, mereka ditambah dengan elemen kejutan yang baharu.
Memang kita akui, SPAD juga perlu mengambil kira nasib pemandu teksi dan pengusaha bas ekspres yang menanggung peningkatan pelbagai kos tetapi mungkin masanya tidak sesuai, bahkan jumlahnya agak tinggi kerana kadarnya mencecah sehingga 67 peratus.
Apa pula jaminan pengusaha teksi dan bas ekspres mereka akan menyediakan perkhidmatan setaraf dengan tambang baharu? Rasanya pengguna juga perlukan sesuatu elemen baharu, bukannya cuma harga baharu tetapi kualiti tetap lapuk. Apa salahnya jika pemandu teksi memastikan kenderaan mereka sentiasa dalam keadaan baik, sistem pendingin hawa berfungsi dengan baik dan paling penting, jangan sesekali merokok di dalam teksi walaupun ketika tiada penumpang.
Bayangkan bau asap rokok itu jika bercampur dengan pendingin hawa, memang meloyakan sedangkan pengguna membayar tambang dengan harapan mendapat sedikit keselesaan, bukannya bau hapak ditambah pula dengan pengalas kaki yang tidak pernah ditukar, tempat duduk yang lusuh dan koyak.
Lebih manis, jika pemandu teksi kelihatan segak dengan memakai pakaian seragam ditetapkan, bukan sekadar menyarung kemeja tanpa mengenakan butang dengan alasan memakainya kerana terpaksa. Sekadar perbandingan- ketika mengunjungi Chiang Mai, Thailand bulan lalu, penulis kagum dengan sikap dan penampilan pemandu teksi di sana. Berpakaian kemas, kemeja biru dimasukkan ke dalam seluar, mesra dan cukup ringan tulang membantu memasukkan barang ke dalam teksi.
Tentunya pengguna di Malaysia juga mengidamkan perkara sama serta perkhidmatan yang selesa. Paling penting jangan sesekali menipu penumpang dengan mengenakan caj tambahan termasuklah berdegil tidak mahu menggunakan meter. Bayangkan, pengguna dari Stesen Titiwangsa yang hendak ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang jaraknya cuma 1.2 km akan dikenakan RM10 jika menggunakan teksi tanpa meter sedangkan harga sepatutnya RM3.17 atau RM3.25 (harga baharu) jika menggunakan meter.
SPAD sendiri mengakui perkara itu dan kesal kerana pemandu mengenakan caj melampau atas alasan kononnya tambang ditetapkan kerajaan terlalu rendah sedangkan penumpang sepatutnya membayar mengikut kadar meter. Penulis percaya, jika semua pihak bergerak selari dengan keputusan dicapai secara muafakat dan mengambil kira kepentingan semua pihak, ia membantu menaikkan taraf serta kualiti pengangkutan awam di Malaysia.

RAKYAT PERLU YAKIN POTENSI PENGANGKUTAN AWAM

                                Image result for rakyat perlu yakin potensi pengangkutan awam

KUALA LUMPUR - Kejayaan ke arah mempunyai perkhidmatan‎ pengangkutan awam yang terbaik menjelang Wawasan 2020 hanya boleh dicapai melalui keyakinan bersama oleh semua orang.
Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana, Azmi Abdul Aziz berkata, orang ramai‎ termasuk pemegang saham perlu bersedia untuk melihat pengangkutan awam secara lebih positif dan maju dengan menunjukkan sikap lebih bertanggungjawab.
"Kita juga perlu mempersiapkan diri untuk memastikan pengangkutan awam tidak sama seperti apa yang telah dilihat, baru-baru ini.
"Sebelum ini, apabila kita bercakap mengenai pengangkutan awam, semua orang berkata ia adalah tanggungjawab kerajaan...ya itu betul, tetapi tidak bermakna kita harus menunggu peruntukan kerajaan bagi memastikan ia terlaksana," katanya pada ceramah bertajuk 'The Rail Challenge - Taking A City From Good To Great' di sini, semalam.
Azmi berkata Prasarana juga turut cuba memahami harapan generasi akan datang tentang pengangkutan awam kerana mereka bakal memasuki tenaga kerja. 
    
"Ia adalah fenomena global yang mana harapan mereka selalunya berbeza...Ini adalah beberapa faktor yang kami akan perhalusi lagi agar ia lebih menarik agar pengangkutan awam pada masa depan dapat memenuhi sasaran pasaran," katanya. 
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal berkata sehingga kini, 62 peratus projek pembinaan Mass Rapid Transit (MRT) telah selesai.

"Mungkin ada isu-isu tertentu di sana sini ketika pelaksanaannya tetapi ia  mengikut seperti yang dijadualkan," katanya memberi jaminan. - Bernama