Khamis, 18 Jun 2015

KE ARAH SISTEM PENGANGKUTAN AWAM YANG BERTARAF DUNIA

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan komited untuk mentransformasi sistem pengangkutan awam kepada bertaraf dunia terutama di Lembah Klang di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada April 2009.
Dalam Laporan Tahunan GTP 2010 yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri, penyempurnaan pembinaan Terminal Pengangkutan Bersepadu Bandar Tasik Selatan telah menjadi salah satu antara langkah untuk mengurangkan kesesakan di pusat bandar di bawah inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi Pengangkutan Awam Bandar.
Terminal bernilai RM570 juta ini dilengkapi dengan kemudahan canggih dan dibuka pada awam Januari lalu di mana perkhidmatan bas ekspres ke arah selatan yang sebelum ini beroperasi di Puduraya dipindahkan ke terminal tersebut, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha.
Beliau berkata walaupun menghadapi kesukaran pada awalnya, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat dan lain-lain agensi telah bekerjasama dengan pihak yang berkenaan bagi memastikan semua operator bas berpindah ke terminal baru itu 1 Mac 2011.
Kong berkata kejayaan lain yang dicapai ialah pengenalan lima perkhidmatan Bus Expressway Transit (BET) dengan tujuan utamanya untuk mengurangkan perjalanan dengan penggunaan lebuh raya yang tidak digunakan sepenuhnya.
BET 1 – Kota Damansara-Pasar Seni.
BET 2 – Bandar Baru Sungai Long-Pasar Seni.
BET 3 – Subang Mewah-Pasar Seni. BET 4 – Taman Seri Muda-Pasar Seni.
Kesemua Bet ini dikendalikan oleh RapidKL.
BET 5 – Rawang-Pasar Seni pula dikendalikan oleh Setara Jaya.
Beliau juga berkata tahun lalu, tambahan 2.4 juta pengguna menggunakan LRT yang sehingga kini 22 set tren yang mempunyai empat gerabak bagi satu tren telah beroperasi.
Ia menunjukkan pertambahan 6.8 peratus dalam penggunan harian dan pertambahan 31.6 peratus di waktu puncak tahun lalu, kata Kong.
Di bawah inisiatif NKRA, 634 hentian bas di Sepang, Shah Alam, Subang Jaya, Klang, Selayang, Ampang Jaya dan Kajang telah dinaik taraf pada 2010.
“Selebih 166 lagi hentian bas daripada sasaran 800 tahun lalu telah siap bersama tambahan 440 hentian yang dinaik taraf,” kata Kong.
Sementara itu, kerajaan bersedia melaksanakan Program Transformasi Kerajaan (GTP) pada tahun kedua dalam fasa pertama iaitu 2010 hingga 2012 dengan lebih tegap, lebih jauh dan lebih pantas.
Laporan Tahunan 2010 Program Transformasi Kerajaan (GTP) terbitan Jabatan Perdana Menteri menyatakan pelaksanaannya tanpa ragu-ragu lagi merupakan titik yang melakar perubahan dalam sejarah Malaysia.
GTP, yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada April 2009, menandakan garis bermulanya era transformasi dan perubahan yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Meskipun laporan tahunan GTP merekodkan hasil GTP yang ketara dalam bentuk fakta dan angka, tetapi terdapat satu lagi sisi yang amat mengujakan, terutamanya taraf hidup rakyat yang telah berubah menjadi lebih baik. — Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan