Khamis, 18 Jun 2015

TRANSFORMASI URUS NIAGA KHIDMAT KERETA API

Industri lebih berdaya maju jika KTMB diswastakan 

PENSWASTAAN Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) jika menjadi kenyataan mungkin turut menyaksikan perubahan dalam model perniagaan industri perkhidmatan kereta api di negara ini. 


Presiden KTMB, Dr Aminuddin Adnan, berkata di bawah penswastaan itu, syarikat terbabit mungkin hanya akan mengambil alih operasi KTMB, manakala aset infrastrukturnya kekal milik kerajaan. 

Kerajaan, katanya mungkin melantik syarikat lain untuk mengendali serta memajukan aset infrastruktur itu atau mengekalkannya di bawah KTMB. 

Beliau berkata, menerusi model berkenaan, perkhidmatan kereta api antara bandar yang kini hanya dikendalikan KTMB boleh dibuka kepada beberapa pengendali lain, termasuk dari luar negara, sementara syarikat pengendali aset infrastruktur pula akan memperoleh pendapatannya daripada caj penggunaan infrastruktur berkenaan. 

“Ini seperti di Eropah seperti di United Kingdom dan Itali. Di sana, laluan kereta api dibuka kepada beberapa pengendali, sementara kerajaan mengenakan caj penggunaan landasan. 

“Sistem ini juga diamalkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dikendalikan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang mengenakan bayaran penggunaan landasan kapal terbang dan meletakkan kapal terbang oleh syarikat penerbangan,” katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini. 
Aminuddin berkata, jika model perniagaan seperti itu dilaksanakan, ia menjadikan industri kereta api negara ini lebih berdaya maju dan membolehkan kerajaan mendapatkan semula wang yang dibelanjakan untuk operasi KTMB. Kepentingan pekerja syarikat kereta api itu akan terpelihara.

Mengenai kemajuan cadangan pengambilalihan KTMB oleh MMC Corp Bhd, beliau berkata, sehingga kini syarikat itu belum menghantar perundingnya bagi menjalankan audit daya maju terhadap KTMB. 

“Saya difahamkan MMC dalam proses melantik perunding. Setakat ini, kami hanya menerima surat daripada Minister of Finance Inc (MOF) akhir tahun lalu yang menyatakan sudah memberikan kebenaran kepada MMC untuk menjalankan audit daya maju,” katanya. 

Justeru, beliau menegaskan, KTMB akan meneruskan perniagaannya seperti biasa dan melaksanakan semua inisiatif bagi meningkatkan mutu perkhidmatan seperti memendekkan kekerapan tren, menukar sistem tiket, menambah kapasiti tenaga dan meningkatkan infrastruktur. 

Jelasnya, jika proses audit daya maju itu lancar ia biasanya akan mengambil masa tiga bulan untuk diselesaikan. 

Apabila selesai, katanya, proses rundingan antara kerajaan dan MMC mengenai syarat pengambilalihan dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya tiga bulan. 

“Proses terbabit amat kompleks dengan kita melihat kepada penstrukturan semula KTMB atau industri kereta api negara ini secara keseluruhannya,” katanya. 

Sementara itu, beliau yakin pelaksanaan projek My Rapid Transit (MRT) tidak menjejaskan perkhidmatan KTM Komuter kerana pertumbuhan pesat penduduk di sekitar Lembah Klang. 

“KTMB tidak mampu menyediakan perkhidmatan secukupnya, berikutan itu kerajaan perlu membina kapasiti pengangkutan tambahan. 

“Walaupun pengguna akan mempunyai pilihan kerana MRT akan dibina pada laluan sama dengan operasi KTM Komuter dari Sungai Buloh ke Kajang, perkhidmatan sedia ada masih tidak mampu memenuhi permintaan,” katanya.



Sumber: http://www2.bharian.com.my/bharian/articles/Transformasiurusniagakhidmatkeretaapi/Article

Tiada ulasan:

Catat Ulasan