Sabtu, 20 Jun 2015

TRANSFORMASI PENGANGKUTAN AWAM CATAT KEMAJUAN, PENGGUNAAN MENINGKAT

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan transformasi pengangkutan awam yang bermula 2010 memperlihat kemajuan memberangsangkan dengan nisbah mod pengangkutan awam bandar telah meningkat kepada 21 peratus berbanding 17 peratus empat tahun lalu.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia semakin menghampiri sasaran nisbah mod pengangkutan awam bandar 25 peratus menjelang 2015.
“Pada akhir 2013 sasaran purata bulanan 400,000 penumpang pengangkutan awam pada waktu puncak juga berjaya dilepasi dengan purata 437,525 penumpang berbuat demikian setiap bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Kompleks Parkir Bertingkat “Park n Ride” Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang bernilai RM30 juta.
Katanya peningkatan jumlah pengguna pengangkutan awam adalah disebabkan beberapa penambahbaikan yang diperkenal kerajaan.
Antaranya penambahan set tren perkhidmatan KTM komuter daripada tiga gerabak kepada enam gerabak selain pewujudan hab pengangkutan awam bersepadu seperti Terminal Bersepadu Bandar Tasik Selatan.
“Inisiatif lain termasuk meningkatkan kesalinghubungan perjalanan dan menyediakan perkhidmatan bas bandar percuma yang berfungsi untuk menarik minat terhadap penggunaan pengangkutan awam dengan lebih meluas,” katanya.
Muhyiddin berkata dengan usaha intensif yang dilaksana di bawah kerangka Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA)-Pengangkutan Awam Bandar, sasaran 750,000 penumpang pada waktu puncak akan dicapai menjelang tahun depan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan