Isnin, 22 Jun 2015

SISTEM PENGANGKUTAN AWAM BERSEPADU HARUS DIJADIKAN KEUTAMAAN

21 APRIL —Jawatankuasa Kerja Pengangkutan Awam Malaysia telah menyampai suatu memorandam kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad) dengan beberapa rekomendasi.
Bersempena dengan Hari Antarabangsa Pengangkutan Awam Percuma yang disambut pada Hari Sabtu pertama dalam bulan Mac setiap tahun, kami dari Jawatankuasa Kerja Pengangkutan Awam Malaysia yang terdiri daripada beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik ingin menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad).
Kami dari Jawatankuasa Kerja Pengangkutan Awam Malaysia telah mengadakan Forum Nasional Pengangkutan Awam pada 3 November 2012 di Petaling jaya dan forum peringkat negeri di Pulau Pinang pada 14 September 2014. Forum yang disertai oleh agensi kerajaan persekutuan, wakil kerajaan negeri, NGO-NGO dan orang awam yang telah berjaya merangka beberapa rekomendasi kepada kerajaan berkenaan pengangkutan awam di Malaysia.
Kami dari Jawatankuasa Kerja Pengangkutan Awam Malaysia ingin menyarankan beberapa rekomendasi kepada Spad bagi memantapkan pengangkutan awam di Malaysia.
Rekomendasi:
Sistem pengangkutan awam yang komprehensif dan bersepadu harus dijadikan keutamaan negara kita.
Sistem yang kita ada sekarang yang mengutamakan penggunaan kenderaan persendirian sedang menelan perbelanjaan yang besar untuk masyarakat kita, menyebabkan kesesakan jalan-jalan di bandar-bandar kita dan juga pencemaran alam. Oleh itu adalah jauh lebih baik untuk kita beralih kepada satu sistem yang berdasar pada pengangkutan awam.
Sistem pengangkutan awam yang berasakan bas (BRT ataupun Bus Rapid Transport) harus ditingkatkan dan dipromosikan kerana ia jauh lebih murah dan cepat dilaksanakan dengan memakai pasarana yang sedia ada berbanding sistem MRT ataupun “Mass Rail Transport”.
Lane-lane jalan khas untuk bas awam harus dilaksanakan untuk mewujudkan satu jaringan jalan bas untuk tiap bandar besar di negara kita. Kos melakukan ini adalah segelintir daripada perbelanjaan membangunkan MRT.
Pada takat ini MRT hanya dibangunkan di Lembah Klang. BRT boleh dilaksanakan serentak di beberapa kawasan perbandaraan. Pengangkutan awam yang lain seperti tram bandar dan pengangkutan air di bandar-bandar yang berhampiran dengan sungai atau laut boleh dipakai untuk mewujudkan satu sistem pengangkutan yang bersepadu.
Sistem pengangkutan awam harus dibangunkan dan diuruskan oleh kerajaan kerana ia merupakan satu kemudahan asas yang dipakai oleh rakyat biasa. Jika dibiar pada sektor swasta kos pengangkutan akan naik dan laluan-laluan yang tidak menguntungkan tidak akan diberi perkhidmatan dengan sempurna.
Badan-badan yang melaksanakan system pengangkutan awam harus beroperasi secara transparen dan demokratik sebagai satu amanah atau lembaga di tiap kawasan dengan penyertaan masyarakat tempatan, pekerja pengangkutan dan kerajaan tempatan.
Kuasa untuk memutuskan laluan jalan bas harus diturunkan kepada negeri dan kerajaan tempatan supaya rancangan yang mengambilkira situasi tempatan dapat diamal. Sistem yang sedia ada sekarang di mana terlalu banyak kuasa dipusatkan di Putrajaya tidak berupaya melahirkan satu sistem yang efisyen dan bersepadu di semua negeri dan semua kawasan kerajaan tempatan.
Kerajaan harus menggunakan pendidikan, peraturan zon dan mekanisme harga untuk menyekat dan mengurangkan pengangkutan persendirian yang sedang mengakibatkan kesesakan jalan raya dan bandar raya kita.
Pendidikan harus dimulakan sekarang dan bukannya selepas system pengangkutan awam mula beroperasi. Pendidikan harus mengetengahkan hubungan antara penggunaan pengangkutan awam dan alam sekitar, selain mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di kawasan kepadatan penduduk yang tinggi. Penggunaan pengangkutan awam dan kenderaan tidak bermotor boleh mengurangkan kemalangan jalan raya.
Sistem pengangkutan awam harus mesra golongan kurang upaya dan warga tua
Kami berharap pihak Spad akan meneliti dan membawa rekomendasi-rekomendasi ini kepada pihak kerajaan/ Kementerian bagi membolehkan rekomendasi-rekomendasi ini diambil kira dalam merangka Strategi Pengangkutan Awam di Malaysia.

Sumber : http://www.themalaymailonline.com/what-you-think/article/sistem-pengangkutan-awam-bersepadu-harus-dijadikan-keutamaan-jawatankuasa-p

Tiada ulasan:

Catat Ulasan