Menurut Perdana Menteri, sis­tem pengangkutan awam yang pertama di Malaysia menggunakan bas elektrik di laluan bertingkat itu merupakan inovasi pintar untuk mengatasi kesesakan jalan raya dan me­ngurangkan pelepasan karbon.
Beliau juga memuji kaedah pelaksanaan projek tersebut yang merupakan kerjasama awam-swasta (PPP) antara Kumpulan Prasarana dengan Kumpulan Sunway.
“Projek BRT ini menunjukkan hasrat negara untuk membangunkan sistem pengangkutan awam yang efisyen, berkesan dan mudah digunakan rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap merasmikan Sistem BRT-Laluan Sunway di Kompleks BRT Sunway di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Pengerusi Kumpulan Prasarana, Tan Sri Ismail Adam dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Jeffrey Cheah.
Sistem BRT- Laluan Sunway yang meliputi laluan bertingkat sejauh 5.4 kilometer itu menempatkan sebanyak tujuh buah stesen dari Sunway-Setia Jaya sehingga USJ7, Subang Jaya.
Kos pembinaan infrastruktur dan sistem pengangkutan awam itu melibatkan jumlah sebanyak RM634 juta.
Pada majlis itu, Najib turut mencuba sendiri penggunaan sistem BRT selain diberi penghormatan untuk mengumumkan kadar percuma bagi pengangkutan tersebut untuk tempoh dua bulan.
Dalam ucapannya, Najib juga memuji kejayaan menyiapkan projek tersebut tiga minggu le bih awal daripada tempoh tiga tahun yang ditetapkan.
Sementara itu, Najib memberitahu, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM23 bilion untuk pembinaan jajaran MRT (Transit Aliran Massa) yang menghubungkan Sungai Buloh-Putrajaya dan RM9 bilion untuk jajaran LRT ketiga menghubungkan Bandar Utama-Shah Alam-Klang.
“Kita memilih NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) Pengangkutan Awam kerana kita gagal mewujudkan sistem pengangkutan yang bersepadu dan berintegrasi sepenuhnya.
“Sebab itu, kita mewujudkan Prasarana dan SPAD (Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat) sebab kita hendak menyelaraskan pengangkutan awam,” katanya.
Najib juga melahirkan harapan agar lebih banyak inisiatif PPP dilaksanakan bagi menambah lagi pengangkutan awam di negara ini.