Jumaat, 19 Jun 2015

SULTAN SELANGOR BERPUAS HATI TERHADAP SISTEM PENGANGKUTAN AWAM DI LEMBAH KLANG

KUALA LUMPUR 16 April – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berpuas hati serta bertambah yakin dengan sistem pengangkutan awam di Lembah Klang selepas berkenan mencemar duli menaiki transit aliran ringan (LRT) dan monorel hari ini.

Malah, Sultan Sharafuddin juga percaya bahawa sistem pengangkutan awam merupakanpenyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya di Lembah Klang yang menjadi kawasan termaju di Malaysia.

Pengerusi Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana), Tan Sri Ismail Adam berkata, baginda bertitah dan berpesan kepadanya supaya pengangkutan awam perlu diperbanyakkan lagi di Lembah Klang berikutan kecekapan sistem pengangkutan itu dalam menangani masalah kesesakan jalan raya.
Malah, kata Ismail, sistem pengangkutan rel seperti LRT dan monorel merupakan sistem pengangkutan yang sebahagian besarnya terletak di negeri Selangor.

“Sultan Sharafuddin sendiri meminta kepada kami untuk mencemar duli dengan merasa sendiri perjalanan pengangkutan awam seperti LRT dan monorel. Sultan Selangor mahu melihat sendiri perjalanan pengangkutan awam ini dan baginda berpuas hati serta bertambah yakin dengan sistem pengangkutan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi lawatan Sultan Sharafuddin menaiki LRT dan monorel di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin menaiki LRT bermula pukul 11 pagi dari stesen Kelana Jaya sehingga ke stesen KL Sentral.

Baginda juga membayar sendiri tiket LRT dengan nilai RM2.90 bagi perjalanan integrasi di antara Stesen LRT Kelana Jaya sehingga Stesen Monorel Bukit Nenas.

Baginda dilihat berdiri di dalam LRT semata-mata untuk melihat pemandangan dan pembangunan di sekitar Selangor dan pusat bandar Kuala Lumpur.

Setibanya di stesen KL Sentral, baginda disambut oleh Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar dan Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Dalam lawatan itu juga, baginda diiringi untuk mencuba pengangkutan awam monorel dari stesen KL Sentral sehingga ke stesen Bukit Nenas di sini.

Kehadiran Sultan Sharafuddin di tempat umum tersebut turut menarik perhatian para pengguna pengangkutan awam.

Lawatan baginda diakhiri dengan majlis santapan tengah hari di Hotel Concorde.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan