Jumaat, 19 Jun 2015

KERAJAAN DIGESA AMBIL ALIH PENGURUSAN PENGANGKUTAN AWAM

KUALA LUMPUR 25 Okt. - Kerajaan digesa mempertimbang untuk mengambil alih pengurusan pengangkutan awam di negara ini bagi menambah baik dan menyeragamkan semula sistem tersebut.
Koordinator Kumpulan Kerja Mengenai Pengangkutan Awam di Malaysia (KPPAM), A. Sivarajan berkata, gesaan itu dibuat kerana masih terdapat rungutan daripada orang awam tentang kelemahan sistem pengangkutan awam walaupun banyak penambahbaikan telah dibuat.
"Masalah utama yang dikenal pasti membelenggu orang awam ialah perkhidmatan bas yang kebanyakannya hanya tertumpu di kawasan Kuala Lumpur sahaja.
"Lokasi stesen-stesen tren transit aliran ringan (LRT) jauh dari kawasan perumahan dan kebanyakan bas berhenti di lokasi yang kurang selamat untuk pengguna,'' katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Forum Kebangsaan Pengangkutan Awam Di Malaysia di sini hari ini.
Yang turut hadir Setiausaha Agung Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor; Yong Yew Wei; Pengasas Seniors Aloud; Lily Fu; Penasihat Persatuan Penambahbaikan Transit Mass Lembah Klang, R. Rajiv dan Pengerusi Pusat Teknologi Alam Sekitar dan Pembangunan Malaysia (CETDEM), Gurmit Singh.
Menurut Sivarajan, antara aduan yang diterima ialah bas tidak berhenti mengambil dan menurunkan para penumpang di kawasan perhentian bas yang disediakan serta tidak melalui laluan yang ditetapkan.
Selain itu, katanya, ketiadaan rangkaian perhubungan yang bersistematik yang menghubungkan perhentian bas ke stesen LRT turut menimbulkan masalah kepada pengguna.
"Terdapat juga kes-kes pemandu teksi mengambil kesempatan mengenakan caj yang tinggi tanpa menggunakan meter kerana mementingkan keuntungan semata-mata.
"Begitu juga dengan penggunaan kenderaan persendirian yang semakin meningkat sehingga menimbulkan masalah kesesakan lalu lintas serta pencemaran alam,'' ujarnya.
Beliau turut menyifatkan masalah tersebut akan menjadi lebih rumit apabila berlaku kenaikan harga petrol yang mana tambang pengangkutan awam bakal meningkat.
Beliau berharap agar kerajaan mengkaji dan menilai semula Dasar Pengangkutan Awam Negara sebagai langkah penambahbaikan sistem tersebut supaya lebih efisien dan cekap.
Sehubungan itu, KKPAM menganjurkan Forum Pengangkutan Awam Di Malaysia yang akan diadakan pada 3 November ini bagi membincangkan isu tersebut.
Beberapa resolusi turut akan dibentuk berhubung isu pengangkutan awam negara bagi dihantar kepada agensi kerajaan berkaitan.

Sumber : http://ww1.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121026/dn_03/Kerajaan-digesa-ambil-alih-pengurusan-pengangkutan-awam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan