Khamis, 25 Jun 2015

PELAKSANAAN TALI PINGGANG KELEDAR BAGI BAS EKSPRES ADALAH LANGKAH TERBAIK UNTUK MEMASTIKAN KESELAMATAN PENUMPANG

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Syarikat bas ekspres harus memperkenalkan perkhidmatan demonstrasi prosedur keselamatan kepada penumpang bas sebagai langkah memastikan keselamatan penumpang.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar berkata konsep ketika menaiki kapal terbang wajar diaplikasikan seperti memberi peringatan dan panduan kepada penumpang untuk menggunakan tali pinggang keledar sebelum bertolak.

"Saya menganggap pelaksanaan ini sangat mustahak kerana sebagai contohnya, apabila penumpang tidak memakai tali pinggang keledar dan tiba-tiba berlakunya kemalangan, risiko untuk penumpang tercampak keluar adalah tinggi kerana tiada ciri-ciri keselamatan dalam bas itu," katanya kepada Bernama.

Katanya, dalam kapal terbang, pramugari akan mengingatkan penumpang memasang tali pinggang keledar sebelum berlepas dan ketika hendak mendarat.

Beliau turut berkata, pengusaha bas ekspres harus memperkenalkan 'speed limiter' di dalam bas supaya kelajuan bas ketika dalam perjalanan dapat dipantau.

"Pengusaha bas perlu memperkenalkan 'speed limiter' dan juga 'Global Positioning System' (GPS) di dalam bas supaya setiap pergerakan dan lokasi perjalanan bas ekspres boleh dipantau dari jauh serta mematuhi undang-undang keselamatan jalan raya," kata Syed Hamid.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Semenanjung Malaysia Datuk Mohamed Ashfar Ali berkata persatuannya menyokong sebarang langkah yang diambil oleh kerajaan dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan.

Walau bagaimanapun, beliau menggesa kerajaan agar mewujudkan rang undang-undang untuk memastikan penumpang sentiasa memakai tali pinggang keledar.

"Misalnya, undang-undang yang mengenakan tindakan ke atas pengusaha bas jika penumpang mereka gagal memakai tali pinggang keledar," katanya.

Pengarah Komunikasi Persekutuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman pula berkata peraturan pengunaan tali pinggang keselamatan itu adalah langkah baik namun ia hendaklah disertai dengan penguatkuasaan undang-undang.

"Bila dah dilaksanakan, penguatkuasaan kena dijalankan juga sebab kalau ada tali pinggang keledar, tetapi penumpang tidak memanfaatkan kegunaannya, tidak guna juga," kata Mohd Yusof.

Baru-baru ini Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi mengumumkan langkah susulan daripada beberapa kemalangan bas yang melibatkan maut sebelum ini.

Ini termasuk penggunaan tali pinggang keledar di setiap tempat duduk bas ekspres serta bas persiaran dan pematuhan ini akan dikuatkuasakan mulai 1 Jan 2015.



-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan