Khamis, 18 Jun 2015

TRANSFORMASI PERKHIDMATAN TEKSI



MANUSIA & PERISTIWA
IMEJ perkhidmatan teksi terutama di Kuala Lumpur dan sekitarnya yang sangat teruk sudah lama diketahui umum.
Para penumpang bukan sahaja dimaki dan diugut, malah berleluasa juga perbuatan menipu tambang oleh pemandu teksi yang berangan-angan menjadi 'jutawan segera' dengan memeras duit penumpang khususnya pelancong asing.
Terbaharu akhbar melaporkan beberapa pelancong dari Arab Saudi yang mengeluh pengalaman buruk menaiki teksi di ibu negara.
Mereka dikenakan caj RM50 dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) ke pusat beli-belah Pavillion di Bukit Bintang, yang tidak sampai 10 minit perjalanan. Seorang pelancong lain pula dipaksa membayar RM200 ketika menaiki teksi dari Subang, Selangor ke KL Sentral.
Imej perkhidmatan teksi di Kuala Lumpur turut terjejas dengan pelbagai kerenah lain pemandu seperti memilih penumpang, mengambil penumpang bukan di perhentian teksi, tidak membantu walaupun penumpang membawa beg berat, tidak menggunakan meter dan menurunkan penumpang di tempat tidak dibenarkan.
Selain isu pemandu tidak terlatih, amanah dan profesional; terdapat pihak yang menyifatkan penggunaan kereta nasional keluaran Proton Holdings Bhd. (Proton) seperti Iswara dan Saga sebagai teksi adalah tidak sesuai kerana saiz yang kecil.
Bayangkan berapa ramai bilangan pelancong asing dari negara-negara Arab dan Eropah yang rata-rata berbadan besar yang mampu dimuatkan oleh kereta Proton Saga.
Kita juga biasa melihat pemandangan but teksi tidak ditutup rapat kerana beg tidak muat. Ini bukanlah fenomena lumrah bagi teksi di negara lain.
Untuk meningkatkan imej teksi di Kuala Lumpur, kita sepatutnya mencontohi perkhidmatan di negara-negara yang telah diktiraf sebagai terbaik.
Bancian oleh syarikat penyedia perkhidmatan tempahan hotel secara dalam talian, Hotels.com pada tahun lalu mendapati perkhidmatan teksi di London adalah yang terbaik di dunia dan status itu kekal selama enam tahun berturut-turut.
Tempat kedua terbaik adalah perkhidmatan teksi New York, ketiga, Tokyo; keempat Berlin; kelima dikongsi secara bersama oleh Amsterdam, Madrid dan Mexico City; keenam Bangkok, Singapura dan Bogota serta ketujuh Las Vegas, Vancouver dan Mumbai.
Jika dilihat kepada kejayaan perkhidmatan teksi London dan New York menduduki dua tempat teratas, ia berpunca kerana wujud skim latihan khas bagi melahirkan pemandu yang berhemah.
SEORANG wanita keluar dari sebuah teksi yang sengaja memberhentikan kenderaannya di atas laluan perjalan kaki di persimpangan Jalan Dang Wangi dan Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Sebelum memperoleh lesen teksi, bakal pemandu teksi di London perlu belajar antara dua hingga empat tahun sebelum menduduki ujian 'The London Knowledge' yang cukup sukar untuk lulus.
Untuk lulus, pemandu perlu menghadiri kursus serta menghafal dan mahir semua 320 laluan, 25,000 nama jalan di bandar raya itu dan juga mengetahui 30,000 mercu tanda termasuk bangunan bersejarah, sekolah, balai polis dan hospital daripada buku panduan khas 'Blue Book' yang disediakan.
Ujian akan dilakukan secara bertulis dan juga sesi temu duga bersemuka. Turut diperiksa adalah rekod kesihatan dan kelakuan pemohon bagi memastikan mereka tidak mempunyai rekod jenayah.
Walaupun Malaysia dikatakan banyak mewarisi sistem pentadbiran yang ditinggal penjajah Inggeris tetapi ini tidak termasuk dari segi latihan pemandu teksi oleh Pejabat Pengangkutan Awam Britain (PCO) yang diperkenal sejak 1865.
Di New York pula, skim latihan disediakan oleh sekolah khas untuk pemandu teksi. Setelah mengikuti latihan selama 80 jam, calon akan menduduki peperiksaan khas. Mereka juga perlu menjalani pemeriksaan perubatan dan disahkan bebas daripada najis dadah.
Dari segi saiz kereta pula, teksi London atau lebih dikenali dengan nama 'Black Cab' menggunakan kenderaan yang direka khas untuk teksi sahaja yang dikeluarkan oleh London Taxi Company (LTC).
SATU permandangan lumrah di negara ini apabila but teksi tidak ditutup rapat kerana beg tidak muat.
Teksi yang menjadi ikon London cukup luas dan selesa serta boleh bertahan selama 15 tahun dengan kos penyelenggaraan yang rendah.
Di Malaysia terdapat usaha sama ke arah itu, apabila pada 2008, Kabinet mengarahkan Proton mengeluarkan model khusus untuk dijadikan sebagai teksi bagi menggantikan pelbagai jenis model sekarang.
Bagaimanapun, sehingga kini langkah itu tidak dilaksanakan.
Sebagai alternatif, kaedah terbaik adalah untuk membeli teksi keluaran LTC. Model terbaharu keluaran syarikat berkenaan iaitu TX4 kini dieksport ke China, Australia, Azerbaijan, Mesir, Jerman, India, Kuwait, Lebanon, Libya, Belanda, New Zealand, Arab Saudi dan Ukraine.
Antara ciri-ciri utama model berkenaan adalah mampu membuat pusingan di tempat yang sempit, tayar tahan haus, penghawa dingin untuk penumpang belakang, dinding memisahkan penumpang dan pemandu, enjin mesra alam yang melepasi piawaian Euro 4 dan 5, sistem hiburan kereta dan sistem interkom untuk komunikasi penumpang dan pemandu.
Saiz teksi di New York juga adalah lebih besar dan selesa dengan model-model yang dikeluarkan oleh syarikat Ford Motor Company dan Toyota Motor Corporation.
Mulai tahun ini, teksi lama akan digantikan dengan van Nissan NV200 yang lebih luas dan selesa.
Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam mencontohi negara-negara terbabit. Oleh itu, transformasi segera haruslah dilakukan terhadap perkhidmatan teksi di Kuala Lumpur.
Antara yang boleh dibuat adalah dengan mewujudkan sekolah khas untuk pemandu teksi dan menambah baik garis panduan Kod Etika Pemandu Pengangkutan Awam yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
Kerajaan juga perlu memperbanyakkan Teksi 1Malaysia (TEKS1M) berasaskan model Proton Exora untuk menggantikan teksi bersaiz kecil sekarang.

Sumber : 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan